Friday, 24 October 2014

Posted by The Nerdy Nutritionista on Friday, October 24, 2014 No comments
AsSalam dan Selamat Sejahtera,

Adakah anda selalu penat? Tertekan? Selalu sakit? Besar kemungkinan anda tidak mendapat jumlah vitamin dan mineral yang diperlukan oleh badan anda. Berikut adalah beberapa vitamin dan mineral penting yang sering kekurangan dalam makanan kita. Kekurangan ini boleh menyebabkan pelbagai gejala penyakit, antaranya ingatan yang tidak baik, gusi berdarah, produktiviti kerja yang terganggu dan kemurungan.


Vitamin B-12
Vitamin ini diperlukan untuk pembentukan sel darah merah, fungsi sistem saraf dan sintesis DNA. Recommended Daily Allowance atau RDA bagi lelaki dan perempuan yang berumur 14 tahun ke atas ialah 2.4 mikrogram (mcg).

Tanda-tanda kekurangan vitamin B12 termasuk anemia, letih, kelesuan, sembelit, hilang selera makan dan penurunan berat badan. Masalah saraf seperti kebas pada tangan dan kaki juga boleh berlaku. Gejala-gejala lain termasuk kesukaran menjaga keseimbangan, kemurungan, kekeliruan, demensia, ingatan yang lemah dan sakit mulut atau lidah.  Terdapat juga kajian yang mengaitkan kekurangan vitamin B12 ini dengan penyakit Alzheimer.

Vitamin C
Badan kita memerlukan vitamin C untuk menjalankan biosintesis kolagen, L-carnitine dan neurotransmitter tertentu.  Ianya juga terlibat dalam metabolisme protein. Selain fungsi biosintesis dan antioksidan, vitamin C juga memainkan peranan penting dalam fungsi kekebalan tubuh (immune system) dan membantu dalam penyerapan zat besi. RDA untuk orang dewasa yang berumur lebih dari 19 tahun adalah 90 miligram (mg) bagi lelaki dan 75 mg untuk perempuan.

Kekurangan vitamin C menyebabkan skurvi dan juga gejala-gejala lain termasuk keletihan, kelesuan, radang gusi, kelonggaran atau kehilangan gigi, sakit sendi, dan luka lambat sembuh.

Vitamin D
Vitamin D mengawal kalsium dalam badan dan membantu untuk mengekalkan tulang yang kuat. Ia terlibat dalam pergerakan otot, sistem saraf, fungsi kekebalan tubuh (immune system) serta membantu mengurangkan keradangan. RDA untuk vitamin D adalah 600 IU bagi lelaki dan wanita antara 19 dan 70 tahun.

Kekurangan vitamin D pada kanak-kanak boleh menyebabkan penyakit ricket. Walaupun rickets telah berkurangan sejak tahun 1930an, tetapi ianya masih berlaku hingga ke hari ini. Dengan penyakit ricket, tulang boleh menjadi lembut dan bengkok.  Kekurangan vitamin D pada orang dewasa pula menyebabkan osteomalacia, yang menyebabkan kelemahan otot dan sakit tulang. Kekurangan vitamin D juga dikaitkan dengan rasa mengantuk pada siang hari.

Iodin
Iodin digunakan oleh tubuh kita untuk menghasilkan hormon tiroid yang berfungsi untuk mengawal fungsi-fungsi penting yang lain. Hormon tiroid juga diperlukan untuk pembentukan tulang dan perkembangan otak bayi semasa dalam kandungan. RDA untuk lelaki dan perempuan berumur 14 tahun dan ke atas ialah 150 mcg.

Kekurangan iodin dalam perkembangan janin dan tumbesaran awal kanak-kanak merupakan penyebab utama kecacatan otak. Pada orang dewasa, kekurangan iodin boleh menyebabkan goiter, serta terjejasnya fungsi mental dan produktiviti kerja. Kekurangan iodin kronik juga dikaitkan dengan peningkatan risiko beberapa jenis kanser tiroid.

Zat Besi
Zat besi membantu mengangkut oksigen kepada sel-sel, membantu dalam pembentukan sel darah, menyokong struktur protein dalam badan dan fungsi penting yang lain. RDA untuk zat besi adalah 8 mg bagi lelaki berumur 19-51 tahun, dan 18 mg bagi wanita berumur 19-51 tahun. Bagi  lelaki dan wanita yang berumur lebih dari 51 tahun, RDA adalah 8 mg.

Tanda-tanda kekurangan zat besi termasuk keletihan dan kelemahan, prestasi kerja atau sekolah yang menurun, perkembangan sosial dan mental yang perlahan bagi kanak-kanak membesar, kesukaran mengekalkan suhu badan, penurunan fungsi imun, mudah mendapat jangkitan dan radang lidah.

Magnesium
Magnesium membantu badan mengawal selia lebih daripada 325 enzim dan memainkan peranan penting dalam mengatur berbagai fungsi tubuh seperti kawalan otot, impuls elektrik, pengeluaran tenaga dan penyingkiran toksin berbahaya. RDA untuk lelaki berumur 19-30 tahun adalah 400 mg manakala RDA bagi lelaki yang berumur 31 tahun ke atas  adalah 420 mg. Wanita dalam lingkungan umur 19-30 tahun memerlukan 310 mg dan bagi yang berumur 31 tahun ke atas memerlukan 320 mg.

Tanda-tanda awal kekurangan magnesium termasuk kehilangan selera makan, loya, muntah, keletihan dan kelemahan. Tanda-tanda kekurangan magnesium yang kronik adalah seperti kebas-kebas, pengecutan otot dan kekejangan otot, sawan, perubahan personaliti, ritma jantung tidak normal dan kekejangan koronari boleh berlaku. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa diet yang kaya dengan magnesium dapat mengurangkan risiko strok atau angin ahmar.

Zinc
Zinc penting untuk membantu sistem imun kita melawan bakteria dan virus. Ia juga membantu dalam penghasilan sel dan juga semasa kehamilan dan pertumbuhan peringkat awal kanak-kanak.  Untuk kanak-kanak, zinc membantu tubuh mereka untuk berkembang dengan baik. Zinc membantu penyembuhan luka dan memainkan peranan dalam deria rasa dan bau. RDA untuk zinc ialah 11 mg bagi lelaki dewasa dan 8 mg untuk wanita dewasa.

Tanda-tanda kekurangan zinc adalah perkembangan perlahan bagi bayi dan kanak-kanak, perkembangan seksual yang lambat di kalangan remaja dan mati pucuk di kalangan lelaki. Kekurangan zinc juga boleh menjadi penyebab kehilangan rambut, cirit-birit, luka mata dan kulit, hilang selera makan, masalah dengan penyembuhan luka, hilang deria rasa dan pengurangan tahap kecerdasan.

Kalau anda nak tahu bagaimana nak dapatkan 7 nutrien penting ini, hubungi saya untuk konsultasi percuma.  Harga istimewa menanti anda.

Hazrina Zahid
Call/WhatsApp/Telegram/SMS - 0123123316
FB Page - http://www.facebook.com/thenerdynutritionista

0 comments:

Post a Comment